Kerjaya Khairul Azman Mohamed

Khairul Azman mula melibatkan diri secara separuh profesional ketika bersama pasukan Pahang. Ketika itu, dia merupakan penjaga gol muda yang terbaik. Ini melayakkan dia dipanggil mewakili pasukan remaja Malaysia ke Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN di Jakarta, Indonesia. Dia kemudian diserapkan ke skuad Piala Malaysia Pahang pada 1985.

Pada tahun 1991, Khairul Azman mula beraksi bersama pasukan senior kebangsaan. Walau bagaimanapun, Hassan Miskam dari Johor dipilih sebagai penjaga gol utama kebangsaan. Meskipun gagal menjadi pilihan pertama, Khairul beberapa kali menggantikan Hassan sebagai penjaga gol utama ketika perlawanan menentang Aston Villa dan England pada tahun 1991.

Pada tahun 1993, Khairul membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka dan pertandingan tersebut merupakan kejuaraan keduanya diperingkat antarabangsa selepas menjuarai Piala Kemerdekaan Indonesia pada 1992. Dia juga membantu Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Tiger 1996 tetapi tewas kepada pasukan Thailand. Penampilan terakhir Khairul bersama Malaysia ialah pada kejohanan Sukan SEA 1997.

Di peringkat tempatan, Khairul membantu Pahang menjuara Piala Malaysia 1992. Pada 1995, Khairul berhijrah ke Malaysia Timur dan menyertai pasukan Sabah. Musim pertamanya bersama Sabah amat membanggakan apabila Sabah muncul juara Piala FA Malaysia pada 1995 menewaskan pasukan asalnya Pahang dengan jaringan 3-1. Musim berikutnya Khairul sekali lagi beraksi cemerlang untuk membantu Sabah menjuarai Liga Perdana. Tetapi malangnya Khairul tidak pernah menjuarai Piala Malaysia bersama Sabah meskipun berjaya mara ke perlawanan akhir sebanyak tiga kali. Beliau dinobatkan selaku penjaga gol terbaik Asia Tenggara di tahun 2005.[1]

Khairul bersara pada musim 2005 kerana tidak sempat pulih dari kecederaan yang dialaminya. Dia kemudian berkhidmat sebagai jurulatih penjaga gol Sabah.